25 April 2024

HARIAN METRO

Dwan Inzaghi
13 Mar 2021

SITUASI pandemik Covid-19 menyaksikan semua pihak melakukan perubahan apabila perlu memanfaatkan medium media baharu. Persatuan Seni Ceritera tidak ketinggalan mengambil langkah serupa apabila memilih menyiarkan pementasan teater Sel Akhir 2021 secara dalam talian. Pengerusinya, Sheikh Shuhaimi Sheikh Abdul Rahim berkata, teater arahan Boss Fendy ini dipentaskan selama tiga hari bermula pada 26 hingga 28 Mac ini jam 8 malam.

“Dinamik persembahan pentas dalam dekad perubahan dan media baharu adalah julung kali dilakukan oleh kami. “Dalam dunia memerangi pandemik Covid-19, kita semua mengetahui bahawa norma baharu wujud dan tidak kurangnya industri seni juga sangat terjejas. Jadi, sebuah produk seni teater juga perlu melangkah dengan perubahan serta anjakan dari formasinya analog kepada bentuk teknologi terkini iaitu secara digital atau lebih mesra persembahannya melalui virtual,” katanya.

Menurutnya, pengisian teater Sel Akhir 2021 tetap sama seperti persembahan secara langsung di pentas.
“Kita akur dengan norma baharu di mana keadaan ini berbeza dengan hakikat sebenar. Setiap karya itu sendiri yang sebenarnya indah, berdiri kukuh sebagai suatu enakmen yang mampu mengusik perasaan, perlu diperjuangkan untuk tontonan umum walau apa pun cabaran dan rintangan. “Teater Sel Akhir 2021 dilahirkan atas proses yang sangat berbeza secara eksperimental pembuatannya, yang difikirkan lalu diterjemahkan dengan melalui teknik baharu,” katanya.

Shuhaimi percaya, seni itu lebih besar dari ciptaan sains dan sesuatu hasil karya adalah sangat subjektif.
“Ini adalah satu bentuk apresiasi oleh pengarah dan dibantu tenaga produksi bagi merealisasikan satu projek baharu yang pada asasnya masih menggunakan ruang pentas. Gabungan teknologi layar hijau (green screen technology) adalah kaedah luar dari kebiasaan dalam pembentukan persembahan teater.

“Sel Akhir 2021 adalah satu produk yang memikirkan berkenaan seni serta impak pemikiran dan penjulangan budaya teater baharu dalam norma baharu memperjuangkan serta memartabatkan teater Malaysia,” katanya.

Sel Akhir 2021 tulisan Najwa Ahmad membariskan pelakon seperti Fauziah Nawi, Wan Raja, Saiful Wazien dan Azlan Komeng. Ia mengisahkan mengenai tiga banduan yang menanti hari terakhir sebelum dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Mereka ditempatkan dalam bilik penjara akhir bagi banduan yang akan dihukum gantung. Hafis, Alias dan Osman berperang dalam diri. Rasa takut, ngeri, geram, terkilan, sedih, sayu dan 1,001 rasa bermain di fikiran mereka dalam menanti hukuman.

Tiket untuk menonton berharga RM28 boleh didapati menerusi pautan https://www.cloudtheatres.com/shows/sel-akhir.

About Author

Shares